PERTANDINGAN KEPENGGUNAAN SEMPENA HARI PENGGUNA MALAYSIA 2013
Tahun 2013 merupakan ulang tahun Ke-12 bagi Pertandingan Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia yang dianjurkan oleh FOMCA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sejak tahun 2002.
Sambutan orang ramai terhadap program ini telah meningkat tahun demi tahun. Ini dilihat daripada jumlah penyertaan yang meningkat setiap tahun. Atas sokongan orang ramai, Pertandingan Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia ini telah berjaya mencatatkan sejarah apabila FOMCA menerima sijil pengiktirafan “Penyertaan Terbanyak Pertandingan Kepenggunaan” daripada Malaysia Book of Records pada tahun 2010.
Pertandingan Kepenggunaan pada tahun 2010 telah mendapat penyertaan sebanyak 61,044 iaitu tertinggi semenjak pertandingan ini diadakan pada tahun 2002. Pada tahun 2012, FOMCA sekali lagi berjaya mencatatkan sejarah apabila FOMCA menerima sijil pengiktirafan “Penyertaan Terbanyak Pertandingan Kepenggunaan” daripada Malaysia Book of Records sebanyak 116,294 penyertaan secara keseluruhannya sekaligus memecahkan rekod penyertaan pada tahun 2010.
Pada tahun ini, FOMCA menawarkan hadiah wang tunai yang berjumlah RM220,000 untuk dimenangi. Semua peserta yang menyertai pertandingan kepenggunaan akan diberikan Sijil Penyertaan. 11 jenis pertandingan kepenggunaan yang akan dipertandingkan pada tahun ini adalah seperti berikut :-
- Pertandingan Mengarang Esei Kepenggunaan (5 Kategori)
- Pertandingan Melukis Poster dan Mereka Bentuk Poster Grafik Kepenggunaan (5 Kategori)
- Pertandingan Melukis Kartun Kepenggunaan
- Pertandingan Blog Kepenggunaan (2 Kategori)
- Pertandingan Fotografi Kepenggunaan (2 Kategori)
- Pertandingan Buku Skrap Kepenggunaan
- Pertandingan Video Montaj (2 Kategori)
- Pertandingan “Speak Up” (2 Kategori)
- Pertandingan Mewarna Kepenggunaan
- Pertandingan Anugerah Penyertaan Terbanyak Peringkat (2 Kategori)
- Kempen Penjimatan Air ‘MyWater’ (2 Kategori)
Kempen Penjimatan Air ‘MyWater’ merupakan pertandingan baru yang diperkenalkan pada tahun ini. Pertandingan ini diadakan dengan tujuan untuk memupuk kesedaran, dan seterusnya mendorong kepada perubahan sikap yang lebih positif terhadap penjimatan air dalam kalangan pelajar sekolah.
Di samping itu, ia dapat membantu sekolah dalam mengurangkan penggunaan air dan seterusnya meminimumkan kos bil air di sekolah. Berikutan peningkatan isu-isu perubahan iklim yang mempunyai hubung kait dengan sumber air di Malaysia, pertandingan ini dilihat amat bersesuaian dan sedikit sebanyak dapat membantu negara dalam penggunaan air yang lebih efisyen. Selain itu, pelbagai aktiviti promosi juga akan diadakan bagi menggalakkan penyertaan pertandingan.
- Ceramah Kepenggunaan di sekolah dan IPTA/S
- Pertandingan Mewarna di sekolah rendah
- Pertandingan Mewarna di Pasar raya Giant
- Pertandingan Mewarna di Komuniti
Acara kemuncak bagi pertandingan kepenggunaan ini merupakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kepenggunaan 2013 yang diadakan di tempat yang akan ditentukan kelak. Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti Pertandingan Mewarna Akhir Kanak-kanak dan dewasa, gerai pameran, demonstrasi dan sebagainya.
Pada tahun ini, Pertandingan Kepenggunaan turut mendapat sokongan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Standard Malaysia. FOMCA juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak korporat yang telah banyak menyokong aktiviti-aktiviti pendidikan kepenggunaan yang dijalankan oleh FOMCA.
FOMCA berharap Pertandingan Kepenggunaan pada tahun ini akan menjadi lebih meriah dengan lebih banyak penyertaan daripada orang ramai.
Sekian terima kasih
Datuk Dr Marimuthu Nadason
Presiden FOMCA
Presiden FOMCA
http://www.mypengguna.com/v6/images/stories/pdf/HPM2013-Brochure-Booklet.pdf
No comments:
Post a Comment